Bab 9 - 10

Bab 9

Puan Sri Mardinah menarik nafas dalam-dalam sebelum bersuara. Wajah Hanima diperhatikannya, mencari ayat yang sesuai untuk diperkatakan.

Hanima pula diam dan cuba bertenang.  Sejak dipanggil ke bilik CEO, Ikhwan Holdings lima minit yang lalu, dia pasti panggilan melalui interkom itu bukan berkenaan dengan tugas.  Ternyata apa yang dirasakannya kini benar belaka.  Kebimbangan melanda.

Sekali lagi Puan Sri Mardinah menarik nafas panjang.  Sukar benar untuknya mencari perkataan untuk dijadikan ayat yang sempurna.  Sopan dan sesuai.

   “Bagaimana saya nak mulakan, Hanima?” Akhirnya Puan Sri Mardina bersuara, memulakan kata.
   “Mulakan apa, Puan Sri?”
   “Awak pasti awak tak tau kenapa saya panggil awak sebentar tadi?”

Hatinya gundah gulana.  Apa sebenarnya niat isteri majikannya itu?

   “Maaf, Puan Sri.  Saya benar-benar tak tau.  Berkenaan dengan tugas saya yang kurang memuaskan ke, Puan Sri?  Saya akan cuba perbaiki.”

Jantungnya berdegup pelbagai irama.  Irama gelisah, risau, serba-salah semua bergabung dalam satu.

   “Saya tak pernah complain tentang tugas awak, Hanima.  Saya bersyukur dan berterima kasih dengan jasa awak.  Apa yang nak saya bagitau ni…  Err…  Bincang.  Itu paling sesuai untuk situasi kita ni.  Ada perkara lain.”
   “Bincang?  Bincang apa, Puan Sri?”
   “Anak saudara awak.”

Ah! Sudah.  Takkanlah…  Mendengar nama Nurul Ain, pengarang jantungnya itu membuatkan Hanima cuak.  Bukan cuak untuk dirinya, tapi cuak untuk satu-satunya anak saudaranya itu.

   “Semalam awak nampak tak Irdina ke mari?” Tanya Puan Sri Mardinah.  Wajahnya nampak tenang tapi hatinya tiada siapa yang tahu.  Hati seorang ibu.

Hanima mengangguk perlahan.

   “Nurul Ain tu, Ain yang awak pernah cerita kat saya tu kan dan yang Dina order muffin tu orang yang sama kan?”
   “Ya, Puan Sri.” Lambat Hanima mengiakan.
   “Hmm…  Awak pasti awak tak tau tentang perkara yang saya nak bincangkan ni?”
   “Puan Sri, sebelum tu, saya mintak maaf banyak-banyak.  Saya rasa saya tau cuma saya tak berapa pasti.  Saya akan pastikan perkara ini tak berulang.  Saya mintak maaf bagi pihak anak saudara saya.”
   “Mintak maaf?  Berulang? Apa yang awak cakap ni, Hanima?”
   “Puan Sri…”

Hanima diam tidak terkutik.  Ya Allah, kuatkanlah hati hambamu ini dan lindungilah Nurul Ain, doanya dalam hati.

   “Apa maksud awak, Hanima?”
   “Anak Puan Sri…  Anak saudara saya… Kawan… Err…”

Puan Sri Mardinah menggeleng-gelengkan kepalanya.  Dia merapatkan badan ke meja dan lengannya menongkat dagu.  Senyuman terukir di bibirnya.

   “Mereka berkawan?  Tu yang awak nak bagitau?”

Sekali lagi Hanima mengambil langkah berdiam diri.  Risau tersalah cakap. Selama ini tidak pernah dilihatnya Tan Sri Md Ghazali mahupun Puan Sri Mardinah marah-marah, menengking-nengking tapi dia tidak begitu pasti hari ini selepas 15 tahun bekerja di Ikhwan Holdings.

   “Hanima, saya tak rasa istilah kawan tu sesuai bagi pihak anak saya, Ikhwan.”
   “Puan Sri… Saya… Ain… “
   “Hanima, Hanima.  Saya belum lagi mulakan perbincangan.  Tajuk pun belum lagi.”
   “Maafkan saya, Puan Sri.”

Puan Sri Mardinah bangun daripada kerusinya lalu mengambil mengisi kekosongan kerusi di sebelah Hanima.

   “Tak perlu mintak maaf banyak kali.  Awak tak buat salah pun.  Saya sebenarnya nak berbincang mengenai Ikhwan Iman dan Nurul Ain.  Hmm… Baik saya berterus-terang, Hanima.  Nurul lebih mengenali Ikhwan dengan panggilan Iman dan saya pasti Hanima tahu cuma Nurul saja masih tak tahu siapa Ikhwan dan apa situasi sekarang.  Am I right?”

Hanima diam.  Perkara yang sama terjadi kepadanya akan berulang pada Nurul Ain?  Tidak, tidak mungkin!  Apa yang diperkatakan oleh Puan Sri Mardinah sudah tidak kedengaran lagi.  Sayup.

   “Hmm…  Macamana ye?  Sepatutnya saya yang serba salah, gementar bukan awak Hanima.”
   “Puan Sri?”
   “Well, here we go.  Saya dan Irdina rasa anak saya, Ikhwan dah berkenan pada Nurul tapi rasanya dia sendiri tidak faham apa yang dia rasa ataupun risau dengan penerimaan Nurul.”
   “Maksud…”

Puan Sri Mardinah mengangkat tangan kanannya. Menghalang Hanima terus bercakap.

   “Saya beri kebebasan pada anak-anak saya membentuk kehidupan masing-masing asalkan ke arah kebaikan.  Saya dan suami tidak pernah menghalang kemahuan anak-anak, dengan siapa mereka berkawan, bergaul.  Kalau Ikhwan berkenan, saya dan suami akan sokong.  Tapi bagaimana dengan awak, Hanima?” Tanya Puan Sri Mardinah mengharap.

Hanima teringat peristiwa 15 tahun yang lepas bagaimana tentangan yang terpaksa dihadapinya sehingga dia sendiri memutuskan pertunangannya dengan Syed Asraf, anak sulung Tengku Syed Halim.  Perbezaan latarbelakang, pangkat dan harta kekayaan antara punca utama perpisahan mereka.  Memang indah pada mulanya, semuanya atas nama cinta tapi hakikatnya pada dunia realiti, cinta sahaja tidak mampu dijadikan sebab untuk meneruskan kehidupan.

Bukan mudah untuknya memilih jalan berpisah dan itupun atas desakan bernada ugutan daripada orang tua tunangannya itu.  Tidak sanggup rasanya untuk membiarkan Syed Asraf terus mencintainya tapi akhirnya mendatangkan sengsara.  Nekad dengan keputusannya, langkah berpisah diambil dengan bantuan Tan Sri Md Ghazali beserta isterinya. 
   
   “Hanima?” Panggil Puan Sri Mardinah.  Hanima dilihatnya runsing.

Hanima tersentak apabila Puan Sri Mardinah menyentuh lembut lengannya.

   “Saya? Tapi… Layak ke kami, Puan Sri? Puan Sri pun tahu bagai…”
   “Apa yang terjadi pada awak 15 tahun dulu tidak akan terjadi pada Nurul, Hanima.  Kerana awaklah, saya dan suami belajar mengenali kehidupan di luar kepompong kemewahan dan pangkat.  Sebab itu saya dan suami berniat, apa-apa yang baik untuk anak-anak, itu yang baik untuk kami.”
   “Saya tak tau apa lagi nak cakap, Puan Sri.  Saya tak tau bagi  pihak Nurul.”
   “Menurut Dina, Nurul tak tau tentang Ikhwan,  yang dia tau cuma Iman, kakitangan bertugas di tingkat 49.”
   “Sa..  Sa.. Saya pun fikir begitu.  Tapi Encik Ikhwan?”
   “Ikhwan?  Saya seorang ibu, Hanima.  Ada sesuatu tentang anak teruna saya yang saya arif benar.  Dia berfikir terlalu banyak dan merumitkan keputusan. Lambat  Setiap satu perkara dianalisisnya seperti dunia perniagaan.  Objektif, misi, method.  Nurul Ain bukan produk perniagaan, Hanima.  Dina cadangkan saya risik terus dengan awak, Hanima.”

Hanima teringat dengan kedatangan Irdina Iman membawa gift box setinggi dan sebesar kertas A4 yang mana di dalamnya penuh dengan pelbagai jenis coklat jenama Hershey’s.  Hadiah untuk Kak Hanima, katanya semalam.

   “Risik?”
   “Kenapa?  Hanima tak berkenan dengan Ikhwan ke?”
   “Ya Allah.  Bukan macam tu, Puan Sri.  Nurul cuma ada saya selepas kematian arwah abang dan kakak ipar saya.  Saya tidak pernah menyekat kehendak dan kemahuan Nurul.  Kalau Nurul kata ya, saya pun ya.  Siapa saya hendak judge Encik Ikhwan?”
   “Jangan macam tu, Hanima.  Tak payahlah merendah diri sampai macam tu sekali.  Ikhwan tu mungkin pemarah di pejabat tapi kata Dina, dalam hati ada taman.  Saya jamin dengan Hanima yang taman tu, taman bunga bukan taman buaya.”
   “Puan Sri…  Apa patut saya kata?  Apa yang kita nak buat?”
   “Haa…  Itu saya nak dengar dari Hanima.  Hanima percayakan saya tak?”
   “Lima belas tahun dulu saya percayakan Puan Sri, takkan sekarang saya tak percayakan Puan Sri pula?”
   “Alhamdulillah… Terima kasih banyak-banyak, Hanima. Ni yang saya rasa kita kena buat.”

Puan Sri Mardinah berbesar hati merencanakan rancangannya yang telah dirangka semalaman bersama suami dan anak bongsunya.  Lancar sahaja bait dan butir bicara keluar daripada mulutnya.

Terbuntang mata Hanima seperti tidak percaya apa yang didengarnya.  Agaknya bagaimana reaksi Nurul Ain, hatinya tertanya sendiri.

   “Kenapa pandang saya macam tu, Hanima?”
   “Bagaimana dengan Tan Sri?”
   “Dia declared dia sayangkan saya seumur hidup semasa akad nikah saya tiga puluh dua tahun yang lalu.  Semestinya dia sokong apa yang kita akan buat ni, Hanima.  Yang terakhir tu, dia yang cadangkan.  Jangan tak percaya.”

Akhirnya Hanima mengukir senyuman.

**********

Dahi Shah Fairuz berkerut seribu. Kepalanya pula mula terasa berdenyut-denyut secara tiba-tiba.  Pening! Bak kata pepatah lama, menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.  Menyesal rasanya termakan ajakan untuk berjumpa daripada Irdina Iman, gadis yang telah bertakhta di mata dan hatinya itu cuma petabalan daripada tuan empunya badan belum confirm lagi.  Sorong tarik tidak sudah-sudah lagi.

Dia mengeluh kecil sebelum bersuara.

   “Saya antara yang utama ke?” Shah Fairuz bertanya.  Hampir enam kali dia mengutarakan pertanyaan yang sama.  Jawapan daripada mulut Irdina Iman masih tidak juga berubah.
   “Iye.  Berapa kali nak tanya ni?” Marah Irdina Iman. Marah-marah sayang. Sayang dalam diam.
   “Kita cari nahas ni, Dina.  Awak bukan tak kenal dengan abang awak tu.”
   “Nak tolong ke tak?” Irdina Iman mengangkat kening kirinya.  Menyinga, konon.
   “Kena tolong jugak ke?”
   “Kalau bukan awak siapa lagi?  Orang lain kang terus dikebasnya.  Awak agak selamat.” Jelas Irdina Iman dengan pantas.
   “Bagaimana awak tau saya selamat untuk dia?  Mana tau…” Shah Fairuz berkata, sekadar mencuba nasib.  Mana tahu saat-saat akhir Irdina Iman berubah fikiran.
   “Berani ke?” Ugut Irdina Iman.  Jelingannya tajam.
   “Opps! Jangan ugut macam tu.  Ni dah buat naya.  Terseksa saya, Dina.” Rayu Shah Fairuz.
   “Apabila kes abang selesai, saya bagi jawapan kat awak.”

Hatinya melonjak gembira dan terpapar diwajahnya. Kalau ini saja caranya untuk membuktikan yang dia ikhlas dan sanggup berkorban untuk Irdina Iman, Ikhwan Iman naik angin pun tidak menjadi masalah.

   “Janji?” Pintanya pada Irdina Iman.
   “Janji…”
   “Itu pun kalau nyawa dikandung badan lagi.” Sempat Shah Fairuz mengeluh.

Irdina Iman ketawa. Jauh di sudut hatinya gelihati dan kasihan bercampur-baur. Haih!

   “Innalillah…” Giatnya pada Fairuz.

Tangan kanan Shah Fairuz digengam dengan lembut.  Lelaki itu terkedu.

   “You know what? I like you.  I like you too much.  There’s no need for you to hesitate.  You’ll be okay.  We’ll be okay.”
   “Awak tau saya akan buat apa saja untuk awak kan, Dina?”
   “Saya tau tapi kita buat untuk abang kan?  Kawan baik awak jugak.”
   “Awak tak tau apa akibatnya nanti.  Ikhwan tu lain benar amarahnya.”
   “Itu sebab kita perlukan gadis seperti Nurul Ain untuk abang dan amarahnya.”
   “We’ll wait and see.  Tapi takkan out of nowhere saya approach Nurul?”
   “Tu jangan risau.  Kak Hanima ada.”
   “Hanima?  Siapa?”
   “P.A Papa.”
   “Haa…  Kenapa pulak dengan Kak Hanima dalam cerita ni?”
   “Nurul Ain tu, niece kepada Kak Hanima.  Dia akan perkenalkan awak dengan Nurul. Jangan risau.  Tapi jangan lebih-lebih.  Bukan saya yang cemburu, bukan Kak Hanima yang marah tapi abang yang jadi ultraman nanti.”
   “Itulah… Nampaknya saya yang jadi raksasa cerita ni.”

Tawa Irdina Iman meletus lagi.  Kalau diikutkan hati, mahu saja dibatalkan rancangannya itu tapi mengenangkan ada back-up daripada Papa dan Mama, dia pastinya dapat menyelamatkan diri tapi Shah Fairuz yang menjadi kambing hitam dan galang gantinya.


Bab10

Perasaan terperanjat dengan pertanyaan Mak Su Hanima membuatkan Nurul Ain gelabah.  Amiza yang sepatutnya bercadang hendak melelapkan mata sekejap di biliknya di atas berhenti melangkah.  Setapak, dua tapak mundur ke belakang.
  
   “Ish!  Orang takde lah Mak Su.  Miza ada lah.” Ujar Nurul Ain cuba memesongkan perbualan ke arah Amiza yang tersengih seperti kerang busuk di tangga.
   “Eh, nama aku pulak.  Mak Su tanya dia boleh pulak nama aku yang masuk.  No entry ada lah.” Balas Amiza selamba.  Hatinya tertanya-tanya apa bala yang bakal menimpa Nurul Ain.

Hanima menjongketkan kedua keningnya.  Dia memasukkan langsir dapur  yang dilipatnya kemas ke dalam bakul berbentuk bulat. 

   “Kalau ada yang berkenan?”

Nurul Ain buat antara dengar dan tidak.  Concentrationnya pada novel yang baru dibelinya tadi hilang, lesap entah di mana.  Kenapa dengan Mak Su hari ini, gumam hatinya.

Melihatkan tiada respond daripada Nurul Ain, Amiza mencelah.

   “Sapa?” Pantas Amiza bertanya.  Ada modal baru untuk mengusik teman baiknya itu.

Nurul Ain meletakkan novelnya ke pangku.  Geram benar hatinya dengan Amiza.  Cadangnya apabila dia berdiam diri, Mak Su Hanima pun akan tamatkan perbualan mengenai perkara yang agak tidak menyedapkan hatinya.

   “Bab sapa ni cepat pulak nak ambik tau.” Cebik Nurul Ain. Matanya dikecilkannya sedikit tanda amaran buat Amiza.
   “Nanti  Mak Su perkenalkan.  Nak ke dapur ni.  Nak makan cucur udang tak?”
   “Nak!”

Nurul Ain dan Amiza menunggu Hanima melangkah masuk ke dapur.  Apabila kedengaran riuh rendah dapur dengan kuali berlaga dan peti sejuk dibuka dan ditutup, mereka saling berpandangan.  Nurul Ain menggaru dagunya. Keliru.  Amiza pula berlari anak daripada tangga dan duduk di lantai bertentangan dengan Nurul Ain.  Mereka saling berpandangan.

   “Psst… Za, ko dengar tak apa yang yang aku dengar?” Tanya Nurul Ain. Bucu Novel di tangannya diketuk-ketuk di kepalanya.
   “Aku dengar apa yang ko dengar, tapi dengar-mendengar ni, betul tak kita dengar?” Ujar Amiza. Muncung seribu.
   “Aku dengar, ko dengar, sama-sama kita dengar.” Jari telunjuk Nurul Ain mengarah ke arah dirinya dan kemudian ke Amiza.
   “Jadi tak salahlah apa yang kita dengar ni.” Amiza mengangguk-ngangguk.

Nurul Ain merebahkan badannya ke sofa.  Kaki dilunjurkannya.  Novel dibuka dan ditutup pada muka.  Kedua-dua tangannya di depakan. Dia mengeluh.

   “Apa aku nak buat?” Asalnya bertanya pada diri sendiri tapi tanpa sedarnya Amiza turut mendengar.
   “Ko nak buat apa?” Tanya Amiza.
   “Aku pun tak tau apa patut aku buat.”
   “Tak perlu buat apa-apa kot.  Wait and see?” Cadang Amiza.

Nurul Ain mengalihkan novel dimukanya.

   “Aku tak sedap hatilah, Miza.”
   “Wei…  Tak de apa lah tu.” Pujuk Amiza sekadar menenangkan Nurul Ain.
   “Umur Mak Su baru 39 tahun.”
   “Err…  Ko tak sedap hati sebab umur Mak Su ke?” Tanya Amiza pelik.  Takkan sebab umur terus rasa tak sedap hati, detik hatinya.
   “Ish!  Maksud aku Mak Su muda lagi.  Sepatutnya Mak Su lah dulu kan?  Tapi boleh pulak kata ada orang berkenan kat aku.  Macam mak-mak pulak.  ”
   “Takkan lah nak selamatkan diri, ko nak pass kat Mak Su…” Usik Amiza.
   “Ko ni…  Ke situ plak.  Ish!” Marah Nurul Ain.
   “Banyak benar ish ko petang Sabtu ni.”
   “Cakap senang…” Lirih Nurul Ain bersuara.
   “Habis tu Mak Su tanya ada boyfriend tak, ko kata takde tadi.  Siap pass baton soalan kat aku.”
 
Ada benarnya kata-kata Amiza.  Mana ada boyfriend?  Mana hendak dicari lelaki yang bernama dan berstatus boyfriend?  Kalau ada seorang…

**********

Dengan hati-hati Nurul Ain meletakkan minuman petang ke meja.  Kalau diikutkan hatinya, mahu saja ditinggalkannya Mak Su Hanima dengan tetamunya ini begitu sahaja tapi kerana didikan yang telah diajar, niat itu dibatalkannya.  Anggap sahaja berehat di halaman rumah di waktu petang, pujuk hatinya

Amiza pula membantunya menuangkan minuman panas dengan cermat.  Dia cuba untuk tidak memandang ke arah Nurul Ain. 

Berlainan dengan Shah Fairuz yang mengukir senyuman.  Patutlah Ikhwan Iman, teman baiknya itu tidak senang duduk sejak dua menjak ini.  Kalau gadis yang bernama Nurul Ain ini penyebabnya, memang dia antara penyokong tegar rancangan Irdina Iman. 

   “Duduk Nurul.” Kata Hanima pada anak saudaranya yang tercegat berdiri di sebelahnya.  Melihatkan Nurul Ain tersentak, berat rasa hatinya untuk meneruskan lakonan tapi dikuatkan niat demi majikannya.  Wajah Nurul Ain di matanya kelihatan kosong ketika ini.

Nurul Ain mengambil tempat duduk di sebelah Amiza berhadapan Mak Su Hanima dengan tetamu yang baru dikenalinya ini, Shah Fairuz.

   “Err… Silakan, Encik Fairuz.  Mak Su.” Pelawa Amiza sekadar berbasa-basi.
   “Terima kasih.  Takpe ke saya duduk sekejap ni?  Apa pulak kata jiran-jiran?” Tanya Shah Fairuz.  Risau juga datang ke rumah di mana semua penghuninya wanita.
   “Tak pe, Fairuz.  Bukan kat mana pun.  Kat halaman rumah. Jemput minum tu.  Susah-susah hantar hantar kereta sampai ke mari.”
   “Tak pe.  Bukan berat pun.  Pandu saja.  Ah Tee kata kirimsalam.  Salam 1 Malaysia katanya.”
   “Risau pulak nak jawab salam.  Nasib baik salam 1 Malaysia. Nak ke mana selepas ni?”
   “Sekejap lagi teman baik saya sampai.  Saya tumpang Ikhwan, anak Tan Sri Md Ghazali. Lagipun kereta saya di parkir bengkel Ah Tee.” Sengaja menyebut nama teman baiknya untuk plot cerita lakonan akan datang.
   “Iye tak iye jugak.  Haa… Nurul, Amiza.  Diam je?  Tadi riuh satu rumah.”

Nurul Ain cuma tersenyum.  Amiza tersengih.

   “Anak saudara Kak Hanima?” Soalan diutarakannya pada tuan rumah.
   “Nurul Ain je.  Ni Amiza teman baik. Sekali dok serumah dan lagipun bilik banyak yang kosong.”
   “Ooo…”

Bip!Bip! Telefon bimbit Shah Fairuz berbunyi tanda SMS diterima.  Senyuman terbit dibibirnya. Showtime!

           Bro, betul ke address ni?
              Yup.
           Rmh sapa?
              Girl yg aku nk risik lh, bro.
           Risik?
              I’m in love, bro.  Ko dtg x ni?

Tiada jawapan daripada Ikhwan Iman.  Tiada SMS.

   “Agaknya dah sampai kot.”  Amiza meninjau di luar pagar. Macamana agaknya rupa Boss Garang, detik hatinya.  Seseorang keluar daripada kereta Hyundai Tucson bewarna perak di depan pagar rumah.  Tapi kereta itu…  Gulp! Amiza terkedu.

Shah Fairuz dan Hanima bangun daripada kerusi.  Nurul Ain baru bangun dan bergerak untuk melangkah masuk ke rumah dengan niat menyediakan minuman untuk tetamu yang baru tiba.

   “Assalamualaikum.”

Langkah Nurul Ain terhenti.  Suara itu… Perlahan dia berpaling.

   “Waalaikumsalam.  Sampai jugak, bro.  Ni perkenalkan Kak Hanima dan Amiza.  Yang itu, Nurul Ain. Dan ini Ikhwan Iman.”

Mereka berjabat tangan dan berlaga bahu, gaya-gaya mesra ciptaan mereka sendiri.  Ikhwan Iman mengangguk kepala sedikit tanda sapaan pada Hanima.

Jantung Nurul Ain berdegup kencang.  Lelaki berada kira-kira enam meter di hapadannya kini adalah lelaki yang sama.  Iman?

Hanima menutup matanya.  Ya, Allah!  Semoga semua ini berjaya, doanya.

   “Amiza, apa kabar?” Tanya Ikhwan Iman bersahaja.  Amiza tersentak.
   “Err…  Saya baik, tuan.  Sila duduk dulu.  Berbual-bual dulu.  Kami ke belakang dulu.”

Pantas Amiza melangkah dan menarik perlahan tangan Nurul Ain yang berdiri kaku tidak berganjak.

**********

Nurul Ain berdiri di depan sinki, kaku.  Dia kehilangan kata-kata sebentar tadi.

Amiza yang bertungkus lumus membuka tutup pintu kabinet dapur mencari set cawan yang serupa dengan set hidangan di luar untuk tetamu.  Mak Su Hanim pantang kalau tak serupa, gumam Amiza.  Selepas selesai dengan tugasnya, Amiza mengangkat dulang. 

   “Wei, ko ok ke tak ni?”
   “Huh?”
   “Muka ko pucat, Ain.  Ko ok tak? Kalau tak, biar aku keluar.  Ko duduk ke, berdiri ke, minum ke, makan ke kat dapur ni, ikut suka.  Aku bawak minuman ni keluar.  Jap lagi aku masuk temankan ko.”

Nurul Ain ditinggalkan bersendirian.  

   “Apa yang patut aku buat?”

Teringat tentang perbualannya di telefon lewat malam tadi dengan Iman, yang sebenarnya Ikhwan Iman.  Seharian memikirkan cara untuk mengelak cadangan Mak Su Hanima adalah dengan mencari seorang boyfriend.  Iman…

   “Awak…  Awak dengar tak?”
   “Dengar.  Kenapa awak bagitau saya semua ni, Nurul?”
   “Entah.  Selesa berbual dengan awak.”
   “Apa awak nak buat?”
   “Saya tak tahu.  Teruk sangat ke kalau tolak permintaan Mak Su?”
   “Apa pendapat Miza?”
   “Miza?  Dia cadangkan wait and see.”
   “Awak tak setuju dengan Miza?”
   “Bukan tak setuju tapi saya rasa saya perlu bercakap dengan seseorang dan lagipun awak pendengar yang baik.”
   “Is that a compliment?”
   “Ha’ah.”
   “Awak nak tau pendapat saya?”
   “Apa dia?”
   “Saya fikir tidak salah untuk ikut pendapat Miza.  Mak Su bukan suruh kawin pun kan?”
   “Tak.”
   “See? Saya fikir just go with the flow.”
   “Awak rasa macam tu?”
   “Saya tak rasa, Nurul.  Saya fikir itu tanggungjawab awak terhadap Mak Su awak.”

Nurul Ain menarik nafas panjang.  Bukan pasal tanggungjawab yang membuatkannya jadi begini tapi selama hampir tujuh bulan bertugas dan selama lima bulan mengenali Iman…  Ish!  Ikhwan Iman!
Kepala digeleng-gelengkannya, memaksa diri untuk berada pada dunia realiti.  Lantas, kuali leper yang digunakannya untuk menggoreng popia tadi diangkat dari atas dapur.  Minyak yang telah digunakannya dimasukkan ke dalam bekas minyak.  Mengemas dapur dan mencuci bilik air nanti pasti dapat menenangkan dirinya time cuti solat seperti hari ini.

   “Saya ganggu ke?”

Nurul Ain menjerit kerana terperanjat beruk. Terjatuh kuali leper ditangannya ke lantai.  Dadanya diurut, beristigfar.

   “Mak!!!”

Kali ini Ikhwan Iman menutup kedua telinganya.  Jeritan yang sama seperti detik bermulanya perkenalan mereka.

   “A… Apa tuan buat kat sini?” Tersekat-sekat Nurul Ain bertanya.  Kenapa pula Boss Garang ini ke dapur?
   “Saya nak bertanya kabar.  Nampaknya saya terima jeritan untuk kali kedua.” Senyuman terukir di bibirnya.  Tangan dilepaskannya dari telinga.
   “Err… Maaf.”
   “Saya ok.  Cuma alasan ke dapur hendak ke bilik air.  Hmm…  Tiada saya-awak lagi?  Sekarang tuan pulak?”
   “Sa… Saya…  Saya salah sebelum ini.  Maaf, saya tak tahu.  Kalau sa… ”
   “Tak pe, Nurul. Silap saya juga.”

Melihatkan Nurul Ain diam membisu, Ikhwan Iman cuba menyampaikan amanat teman baiknya, Shah Fairuz sebaik mungkin.

   “Kalau awak risau, biarlah saya bagitau sesuatu.  Shah Fairuz tu orang yang baik dan kami berkawan baik sejak kecil lagi.  Gembira sungguh dia dapat berkenalan dengan awak.  Padanlah seminggu ini dia asyik berkata nak jumpa dan berkenalan dengan seseorang.  Saya tak tau pulak seseorang itu, awak.”
   “Gembira?”
   “Ya, gembira.  Awak pun patut gembira. Mak Su awak pun nampak senang hati.”

Gembira?  Lupakah lelaki ini dengan perbualan mereka lewat malam tadi?

   “Saya patut gembira… Tuan arahkan saya ke?”
   “Maksud awak, Nurul?”
   “Encik Shah Fairuz gembira, Mak Su senang hati dan saya sepatutnya gembira.  Atas arahan ke? Bagaimana dengan tuan?  Tuan gembira?”
   “Saya?”
   “Adakah tuan gembira?  Senang hati?” Pertanyaan yang tidak sepatutnya diutarakan oleh Nurul Ain.  Tapi dia sendiri pun tidak pasti kenapa.

[Bab 11-12]

5 comments:

  1. the rest ada tp post lg. ptg skit. happy reading(i hope).tq.

    ReplyDelete
  2. best,cpt2 smbg ye.........

    ReplyDelete
  3. bab 10 will be uploaded 2morrow. thx 4 reading.

    ReplyDelete
  4. cara awk mnulis crita ini semakin menarik...keep it up!!!!

    ReplyDelete