Bab 19 - 20

Bab19

Tan Sri Md Ghazali sedang membantu Musa mengeluarkan barangan yang baru dibeli daripada pasar basah ketika kereta anak bongsunya, Irdina Iman masuk dan parkir di sebelah.  Lambat-lambat anaknya itu keluar daripada kereta.  Wajah itu tidak ceria, juga tidak sedih tapi seperti sedang berfikir tentang sesuatu.  Atau seseorang…

   “Assalamualaikum, Papa. Pak Musa.”
   “Wa’alaikumsalam.  Adek sorang je?  Abang mana?”

Irdina Iman mengangkat bahu, tidak tahu.

Tan Sri Md Ghazali tersenyum.  Mesti bergaduh.

   “Ha…  Ni, tolong hantar lauk pauk basah ni ke dapur.  Mama dan Mak Jah kamu mesti tengah menunggu.”
   “Ok.” Irdina Iman akur sambil menjinjing 2 plastik yang sarat dengan ayam dan ikan di kedua belah tangannya masuk ke rumah.

Jawapan pendek daripada Irdina Iman membuatkan Tan Sri Md Ghazali dan pemandunya saling berpandangan.

   “Lain macam je tu, Tan Sri?” Tegur Musa.  Selalunya keluar dari kereta, cerianya menggamatkan satu rumah.
   “Entah lah, Musa.  Gaduh dengan Ikhwan barangkali.” Kata Tan Sri Md Ghazali.  Bonet belakang kereta Mercedes-Benz model E 300 BlueTEC HYBRID itu ditutup kemas.
   “Kalau gaduh dah tentu dia merajuk dalam bilik, Tan Sri.  Ni kes lain ni.”
   “Saya pun berfikir macam tu, Musa.  Ala…  Anak-anak muda.  Darah muda.”
   “Kita pun pernah muda, ye tak?”

Kedua-duanya ketawa, mungkin masing-masing teringat zaman muda-muda dulu.

Di dapur…

   “Assalamualaikum, Mama.  Mak Jah.”
   “Wa’alaikumsalam.” Jawab kedua wanita lewat umur 50-an serentak.

Tanpa banyak kata, Irdina Iman menghampiri sinki dan meletakkan plastik-plastik di atasnya.  Dia kemudiannya menarik kerusi di meja makan dan duduk.  Kepalanya diletakkan di atas meja berbantalkan lengan.

   “Kenapa ni, dek?  Senyap je?  Tak sihat?” Hajijah penuh kasih meletakkan tangannya di dahi Irdina Iman.  Perkahwinan selama hampir 27 tahun tanpa anak membuatkannya menganggap kedua anak majikannya itu seperti anak kandung sendiri.
   “Gaduh dengan abang?” Puan Sri Mardinah mengagak.
   “Tak…”
   “Kenapa adek nampak monyok? Nak kata demam, Mak Jah rasa badan adek pun sejuk.  Normal.”
   “Hmm…  Adek terlampau banyak berfikir kot.”  Akui Irdina Iman.
   “Fikir?” Serentak lagi Puan Sri Mardinah dan Hajijah saling berpandangan.

Memang Puan Sri Mardinah akui seminggu kebelakangan ini jarang Nampak Ikhwan Iman dan Irdina Iman ke mana-mana bersama-sama.  Paling tidak pun pasti ada Shah Fairuz, teman baik kepada si abang dan buah hati kepada si adek.

   “Banyak kerja di pejabat?”
   “Boleh tahan, Mama.  Tapi bukan kat Ikhwan Holdings tapi kat pejabat abang.”

Hajijah meneruskan kerjanya di dapur meninggalkan ibu dan anak itu berbual, mencurah rasa di meja makan.

   “Memang sejak balik dari Singapura minggu lepas abang tak balik lagi ke sini.  Itupun Mama yang singgah  pagi Isnin lepas.  Alasan Mama nak collect souvenir. Abang sibuk?”
   “Abang memang sibuk memanjang tapi ada orang datang menyibuk.”
   “Orang? Siapa? Nurul?”
   “Kalau Nurul, adek tak jadi masalah.”
   “Fairuz menyibuk dengan Nurul?  Acting je kan?”
   “Pun bukan.”
   “Habis tu siapa?”
   “Syarini.”

Puan Sri Mardinah yang baru mengeluarkan set hidangan minum pagi daripada kabinet terhenti.

   “Syarini?  Anak Datuk Mahluddin?  Bukan ke dia tinggal di Australia?  Bekerja di sana?”
   “Dah balik pada hari yang sama abang balik dari Singapore.  Cuma flight abang awal pagi, flight dia sebelah petang.”
   “So… Apa yang adek fikirkan?”

Jadi ini yang membuatkan anak bongsunya jadi begini.  Tidak ceria.

   “Mama tolong batalkan iklan jawatan kosong P.A abang.”
   “Batal? Kenapa?” Puan Sri Mardinah kehairanan.
   “Bagi terus dengan Nurul Ain.”
   “Dina…  Kita kena adil kan?”

Bukan niatnya untuk menyekat calon-calon yang berkelayakan untuk memohon tambahan lagi saingan untuk mendapatkan pekerjaan masakini memang sengit.

   “Bukan bagi jawatan secara hakiki tapi sementara saja.  Yang jawatan lain tu biar on je. Bila kita dapat usha abang dengan Nurul then baru kita buka iklan jawatan itu semula.” Terang Irdina Iman akan maksudnya.
   “Kenapa tiba-tiba?”

Lambat-lambat Irdina Iman menjawab.

   “Syarini pun memohon.  Puan Khatijah yang bukak e-permohonan semalam nak print kan senarai pemohon.  Adek terperasan nama tu.”
   “Hmm…  Dah bagitau abang?”
   “Selagi dia nampak Nurul di meja tu adek rasa tak menjadi masalah.”
   “Jadi…  Ni lah yang buat adek monyok ni?”
   “Tak jugak.  Ha…  satu lagi.   Setiap malam abang keluar makan dengan Syarini.”
   “Abang dah dewasa, dek.  Lagipun salah adek juga.”
   “Salah adek?  Part mana?”
   “Adek kena inform abang yang Fairuz tu bakal adik ipar bukan nak tackle Nurul pun. Baru abang tak berkira-kira dengan Fairuz lagi.”

Irdina Iman mengukir senyuman.  Senyuman bertukar menjadi tawa.

**********

Shah Fairuz meraup mukanya.  Mencari momentum.  Irdina Iman pula menongkat dagu, matanya terarah pada pintu bilik tidur abangnya di hujung penjuru.  Berbohong bukan main senang, tapi berterus terang susah lah pulak, gumamnya sendirian.

   “Saya ke atau awak yang kena bagitau?” Irdina Iman beralih pandangan.  Wajah Shah Fairuz ditatapnya.
   “Sama-sama.  Awak dan saya.”
   “Berani ke?” Tanya Irdina Iman selamba.
   “Tu yang saya ajak awak.  Dahlah saya siap panggil Nurul baby-baby lagi.  Tak naya saya?”
   “Cakap terus terang pun susah?” Rungut Irdina Iman.
   “Ada lagi saya nak cakap.  Tu pun naya jugak.”

Shah Fairuz bangkit dan mundar-mandir di belakang sofa.

   “Ada apa lagi yang nak kena bagitau?”
   “Ada…”
   “Apa dia?”
   “Before saya kena…  Elok bagitau dengan Ikhwan jangan apa-apakan bakal adik ipar.”
   “Haih!  Sapa kata saya nak kawin dengan awak?” Irdina Iman meninggikan suaranya sedikit.
   “Tak kata pun.  Cakap je.” Jawab Shah Fairuz lalu duduk kembali apabila dilihatnya Ikhwan Iman keluar daripada bilik tidurnya.

Ikhwan Iman memandang wajah dua wajah insan yang disayanginya ini.  Mula-mula wajah Shah Fairuz, kemudian wajah adiknya.  Akhirnya terhenti di wajah Shah Fairuz.

   “Ha…  Apa hal, bro?  Adek?  Kenapa asyik bersama je ni?” Tanya Ikhwan Iman, ingin tahu. Tangannya membetulkan kolar baju.
   “Bro…  Nak ke mana ni?” Shah Fairuz mengerut kening.  Teman baiknya nampak seperti sedang bersiap-siap hendak keluar.
   “Kereta Sya rosak masih di bengkel.  Dia nak singgah di The Curve.” Jawab Ikhwan Iman. Kali ini dia menyikat rambutnya kemas. 
   “Sya?  Syarini?” Serentak Shah Fairuz dan Irdina Iman menyebut nama yang asyik-asyik muncul dalam perbualan mereka.
   “Siapa lagi?  Syarini lah.”
   “Naik je lah teksi…” Irdina Iman bersuara perlahan. Tidak puas hati.  Tidak jadi masalah baginya jika berkongsi kasih abangnya dengan Nurul Ain, tapi kalau dengan Syarini, simpang malaikat 44.
   “Adek…  Kalau kawan perlukan bantuan, kita kena tolong.  Bukan jauh pun. Abang ni  pun lepas hantar Sya, nak singgah makan tengahari rumah Mama dan Papa.  Semalam tak pi.  Qada hari Ahad.”
   “Err… Sya ok?” Tanya Shah Fairuz.

Ikhwan Iman mengeluh.  Pasti ada sesuatu…  Dia akhirnya duduk di sofa bertentangan dengan Shah Fairuz dan adiknya. 

   “Am I missing something here?” Ikhwan Iman bertanya.  Dia pasti kedatangan keduanya membawa hajat besar.

Diam. Senyap.

   “Just shoot, bro.” Ikhwan Iman memberi lampu hijau kepada Shah Fairuz untuk menerangkan sesuatu kerana itulah yang dia rasakan sekarang.  Shah Fairuz ada sesuatu untuk diperkatakan.
   “Abang dengan Sya ada apa-apa ke?” Laju adiknya bertanya.
   “Maksud adek?”  Ikhwan Iman tersentak.  Pelik mendengar pertanyaan daripada adiknya.
   “Bro, ko dengan Sya couple ke?”  Giliran Shah Fairuz bertanya. Satu lagi kejutan dengan pertanyaan pelik.
   “Ho… Ho… Ho…  This is interesting. Kenapa?”
   “Abang suka dengan Sya ke?” Ada nada kebimbangan pada suara adiknya.
   “Hmm…  Still the same question.  Kenapa?”

Shah Fairuz meraup wajahnya untuk sekian kalinya.  Naya pun naya lah.

   “Bro, aku nak kawin dengan Dina.  Aku sayang dengan Dina lama dah.  Aku nak restu ko.”

Irdina Iman berpaling ke arah Shah Fairuz di sebelahnya. Kenapa lain yang dirancang, lain pula jadinya?

   “Kawin?  Dina? Bro, apa ni bro?  Nurul?” Ikhwan Iman teringat pada Nurul Ain. 

Dengan ketinggian 5 kaki 8 inci, Ikhwan Iman  bangkit dari sofa dan dengan spontan  Irdina Iman berdiri di tengah-tengah sebagai pengantara.  Tangan didepakannya.  Shah Fairuz juga turut bangun tapi dengan perlahan.

   “Abang…  Biar kita terangkan dulu?” Irdina Iman cuba mengukir senyuman secomel mungkin untuk abangnya.

Namun difikiran Ikhwan Iman pelbagai andaian buruk menerjah masuk.  Mereka terlanjur kah sehingga Shah Fairuz melupakan hasrat untuk memikat Nurul Ain?  Tergamakkah mereka?

   “Bro?” Shah Fairuz bersuara, mematikan andaian buruk terus bermain-main difikiran Ikhwan Iman.

Tanpa bersuara, Ikhwan Iman kembali duduk.  Duduk dalam keadaan tegak, menunggu penjelasan.  Penerangan.

Irdina Iman mengambil tempat duduk di sebelah abangnya.  Shah Fairuz mengangguk sedikit, tanda membenarkan buah hatinya untuk memberi penjelasan.  Mungkin sampai maksudnya nanti.

Sepanjang Irdina Iman bercerita, abangnya cuma diam.   Sekali sekala Shah Fairuz menyampuk melengkapkan plot penceritaan.  Bukan itu sahaja, Papa, Mama dan Kak Hanima pun turut serta terlibat di belakang tabir.

Agak lama juga suasana hening melitupi kediaman mewah itu sebaik sahaja Irdina Iman selesai bercerita.  Tanpa sebarang reaksi, Ikhwan Iman meninggalkan adik dan teman baiknya di ruang tamu lalu menuju ke dapur.

Irdina Iman dan Shah Fairuz saling berpandangan.  Marah ke tidak marah?

Tidak lama kemudian, Ikhwan Iman keluar dari dapur dan menuju ke rak kasut mengambil dan menyarung sandal kegemarannya di kaki.  Dia ke dapur cuma untuk membasahkan tekaknya dengan air berkarbonat Coca-Cola, kegemarannya.

   “Tunggu apa lagi?”  Tiba-tiba Ikhwan Iman bersuara.
   “Abang nak pi mana?  Jumpa Sya?”
   “Tak.”
   “Habis tu nak ke mana, bro?”
   “Jumpa seseorang.”
   “Jumpa seseorang?” Serentak Shah Fairuz dan Irdina Iman mengulang kembali kenyataan daripadanya.
   “Cepatlah.  Tuan rumah dah nak keluar takkan tetamu nak tinggal?” Rengus Ikhwan Iman.

Cepat-cepat keduanya menuju ke pintu dan menyarung kasut masing-masing.

   “Ke mana?” Shah Fairuz memberanikan diri bertanya.
   “Ko jaga Dina dan sayang dia seperti kami sayang dia, bro.”  Ikhwan Iman sengaja tidak menjawab pertanyaan teman baiknya.
   “Huh?” Shah Fairuz terkedu.
   “Abang?”
   “Adek pula jaga nama baik keluarga. Kitaorang sayangkan adek and abang approved pilihan adek.  Good choice.”

Ikhwan Iman mengunci pintu kondominium dan memasang sistem penggera keselamatan ke mode aktif. Kakinya melangkah menuju ke lift tetapi adik dan teman baiknya masih tercegat di tempat yang sama.

   “Kenapa tengok macam tu?” Tanya Ikhwan Iman, pelik.
   “Bro, ko tetap nak jumpa Sya jugak ke?”
   “Abang?”
   “Sapa kata? Cancel.  Dia naik teksi je lah. Nak jumpa Nurul.”  Seraya itu pintu lift terbuka dan kelibat Ikhwan Iman hilang.

**********

Hanima mencangkung sambil menggembur tanah dalam 3 pasu plastik panjang bewarna kelabu.  Benih bunga yang baru dibelinya awal tadi di pasar ditabur dan sedikit air disiram untuk melengkapkan prosedur menanam pokok bunga.

Amiza pula duduk di buaian sambil mengunyah Crontos perisa barbecue.  Kedua-duanya berada di tempat teduh jadi terlindung daripada panas matahari yang mula menggigit kulit.   

   “Tak keluar?” Hanima mengangkat pasu ke rak pasang siap yang dibelinya dari IKEA sebulan lepas.
   “Tak. Napa Mak Su?”
   “Nurul mana?”
   “Atas.  Baca novel.”
   “Siapa yang masak?”
   “Hari ni giliran saya masak.”
   “Masak lagi? Kan lewat sarapan pagi tadi.”
   “Tak masak pun.”
   “Tadi kata masak?” Hanima mengerut kening.
   “Giliran masak.  Saya tapau je.  Nasi Bukhara yang kat PJ State sampai sekejap lagi.” Amiza tersengih. Malas masak sebenarnya.
   “Ada delivery ke?”
   “Tak.  Hamzah antar.  Dia dengan Azril pi sana nak tukar selera konon.  Padahal abah dengan ibu pi kenduri  kat Sungai Besar.  Saya pesan sekali.  Beli  4 kotak.  Semua ayam.”
   “Haa…  Nasi tu.  Nurul tau ke?”
   “Kusyuk dan tawaduk mengadap novel.  Malas nak kacau.  Dia hidu aroma nasi tu nanti dia turun lah.”
   “Nurul tu suka makan.  Cukup ke?”
   “Kan saya order 4 kotak tadi, Mak Su.  Mak Su  pun dah salah.  Nurul tu bukan suka makan tapi kuat makan.”

Amiza dan Hanima saling berpandangan sejenak dan tawa mereka berderai kemudiannya.

Amiza sedang mengesat air matanya akibat tergelak besar dengan adegan mengumpat Nurul Ain yang kuat makan ketika sebuah Hyundai Tucson berhenti  parkir di luar pagar rumah.  Siro, anjing milik Mrs. Lee mula menyalak.

Ikhwan Iman keluar daripada kereta dan berdiri di depan pagar rumah sambil mengangkat tangan pada dua wanita yang sedang memandangnya dengan pandangan semacam, pelik serta hairan.

Cepat-cepat Amiza membetulkan tuala di kepalanya yang berfungsi menutup rambutnya menggantikan tudung.  Alamak!

Hanima pula bangun lalu menuju ke pintu pagar untuk menyambut tetamu yang datang tanpa diundang namun kedatangannya akan sentiasa disambut dengan baik. Siro pula berhenti menyalak apabila Edwin, anak lelaki Mrs. Lee keluar menenangkannya.

   “Assalamualaikum, Kak Hanima.”
   “Wa’alaikumsalam.  Masuk dulu. Panas ni...” Hanima menggunakan tangan seakan-akan awning tudung menutup wajahnya terkena panas matahari.

Ikhwan Iman menurut akur.  Ada senyuman di bibirnya. Hanima menutup kembali pagar rumah.

   “Err…  Mintak maaf kalau saya mengganggu hari Ahad macam ni.  Nurul ada?”
   “Ada. Kat atas. Duduk di kerusi ni dulu.  Kat sini agak teduh, terlindung. Nanti mintak Amiza panggilkan.”

Tanpa disuruh, Amiza berlari anak menghitung anak tangga ke tingkat atas.

Tok! Tok! Tok! Tok!  Pintu diketuk kuat.

   “Ish!  Macam nak roboh.  La…  Siapa pulak kunci pintu ni?” Rungut Nurul Ain.

Pintu dibuka.  Amiza tersengih.

   “Ko yang kunci pintu lepas keluar tadi kan?  Ha…  Ni ketuk macam nak roboh.” Marah Nurul Ain.  Pembacaannya terganggu dek terpaksa membuka pintu untuk Amiza.
   “Sori…  Pi siap-siap.”
   “Huh?  Nak ke mana?” Tanya Nurul Ain kehairanan.
   “Ada tetamu.” Jawab Amiza pendek.
   “La… Nak suruh buat air bandung blended  lagi ke panas-panas macam ni? Kan dah tunjuk cara hari tu.”
   “Bukan.  Yang datang ni lagi panas.”
   “Ko order Domino’s ke?  Eeii… Seronoknya!” Nurul Ain melonjak kegembiraan.
   “Beb…  Ko ni tak tanya sapa pun yang datang.  Ko main teka ikut suka, ikut selera.” Amiza menggeleng kepala.  Kalau part makan, Nurul Ain nombor satu.  First place.
   “Jadi bukan Domino’s?”  Nurul Ain hampa.
   “Bukan.”
   “Hmm… Ok.  So  siapa datang ni?” Nurul Ain bermalas-malas dan baring semula ke katilnya.  Novel tulisan Catherine Coulther dicapainya semula.  Siapa yang datang?  Ada kukisah…

Amiza membuka almari Nurul Ain mengeluarkan jeans biru dengan blaus perang muda.  Selendang berwarna  3 tones yang siap bergosok turut menjadi sasaran.

   “Nak pi ke mana?” Tanya Nurul Ain.  Mungkinkah Amiza mengajaknya keluar?
   “Aku tak pi mana-mana.  Ko yang kena pi mana-mana.”
   “Aku? Aku nak pi mana?”
   “Boss ada kat bawah.  Cari engkau.  Aku tak rasa dia nak dok kat kerusi di laman tu lama-lama.  Walaupun terlindung dari panas, tak sesuai, beb.”

Nurul Ain bingkas bangun.

   “Boss?  Boss mana? Boss siapa?”
   “Ada boss lain ke yang tahu rumah ni? Mana telefon mahal ko?”
   “Err… Kat luar tengah cas.”
   “Baik ko tengok ada SMS tak.”

Nurul Ain berlari keluar ruang tamu di tingkat yang sama.


Bab20

Setelah agak jauh kereta membelah jalan dan menghala ke arah Klang, Ikhwan Iman bersuara.  Jika menunggu Nurul Ain untuk memulakan bicara, kirimsalam! 
  
   “Mana telefon?” Sergah Ikhwan Iman.
   “Huh? Telefon?  Yang mana satu?” Spontan Nurul Ain bertanya.  Jantungnya terasa berdebar-debar.  Hujung minggunya  yang indah dengan aktiviti membaca novel terganggu mengadap kerenah majikan.
   “Mana satu awak nak tunjuk?” Tanya Ikhwan Iman bersahaja.  Gadis itu dilihatnya dengan ekor mata, terkial-kial menyeluk tangan ke dalam beg pouch nya. 

Nurul Ain menggenggam telefon pemberian majikannya.

   “Err…  Ni lah kot.”  Nurul Ain mengangkat dan menayangkan telefonnya.
   “Saya hantar SMS berapa kali?  Saya call berapa kali? Dah check ke belum?” Tanya Ikhwan Iman dengan nada yang agak keras.

Diam adalah jalan selamat.  Nurul Ain menelan air liur.

   “Awak ke mana?  Telefon ke mana?  Bukan sepatutnya bawak telefon ke mana-mana?”  Ikhwan Iman bertanya tanpa menghiraukan kelogikan dan haknya untuk mengetahui.
   “Takkan…” Terdetik hatinya untuk menjawab tapi dibatalkan.  Ish!  Takkan telefon dibawa masuk ke bilik air sekali, rungutnya.
   “Apa dia?” Ikhwan Iman mencelah.  Dia dapat rasakan gadis di sebelahnya ini sedang menjawab bait butir sergahan dan pertanyaan di kepalanya.
   “Tak de apa.” Nurul Ain menggeleng kepala.
   “Habis tu telefon untuk apa?”
   “Untuk telefon…”
   “Tau tak pe.”

Mahu rasanya dia mengetuk kepala majikannya dengan telefon bimbit ditangannya.  Biar sedar diri sikit bila time membebel-bebel dan bising-bising seperti  ini.  Tiada untung satu sen pun!  Lagi geram teringatkan Amiza yang tersengih memanjang menghantarnya di depan pintu rumah.

   “Boss cari hujung minggu, beb!” Giat  Amiza.
   “Ish!”
   “Tu lah, tak tengok telefon…  Ada enam missed call, lapan SMS.  Pecah rekod.”
   “Aku buat silent mode.  Lupa nak tukar loud mode.” Rungut Nurul Ain.  Sandal di kaki diikat kemas.
   “Tadi ko baca SMS tu…  Boss taip apa?  Banyak tu…  Lapan.” Tanya Amiza ingin tahu.  Jarang benar Nurul Ain berahsia dengannya.
   “Tak de apa.” Ujar Nurul Ain.  Bukan niatnya untuk berahsia, tapi tiada yang menarik untuk dibaca. Kena marah!
   “Tak bagitau pun tak pe.  Ni nak habaq ni…. Aku beli nasi Bukhara tadi.  Tunggu Hamzah dan Azril sampai.  Delivery.”
   “Ha…  Ni yang tak syok nii…” Rungut Nurul Ain.
   “Ala…  Ni pun dah tengahari.  Boss ajak makan nanti tu.”

Nurul Ain memejam matanya.  Lapar…

Ikhwan Iman pula bermain-main dengan perasaannya sendiri.  Marahkah Nurul Ain dengannya?

   “Tuan, kita nak ke mana?” Tanya Nurul Ain tiba-tiba.  Celik-celik mata, dilihatnya kereta yang dipandu majikannya menyusur,  membelok ke kanan menghala ke Shah Alam.  Ke Tesco?
   “Awak nak ke mana?”
   “Erk?  Saya?”
   “Iyelah, awak.  Hari ini hari Ahad.  Hari cuti.”

Nurul  Ain terkebil-kebil memandang majikannya di sebelah.  Namun majikannya itu tetap fokus pada pemanduannya di jalanraya.   Suara yang agak kasar tadi pun bertukar lembut, tenang dan damai.

Kacak!  Segak!  Fikirannya menerawang.  Ish! Cepat-cepat dia menggelengkan kepala dan memicit sedikit bahagian dahinya.  Pening di tengahari.

   “Kenapa dengan awak?”
   “Tak de apa, tuan.”  Nurul Ain enggan  memandang majikannya yang bernama Ikhwan Iman itu.  Risau mata dan fikirannya kacau bilau.

Entah kenapa perutnya berbunyi , berkeroncong tanpa irama dengan agak kuat secara tiba-tiba. Alamak!  Nurul Ain meletakkan tangan kirinya di perut.   Ikhwan Iman tersentak dan ketawa besar. 

Nurul Ain cuba berlagak selamba biarpun panas hati dan pedih telinga mendengar majikannya ketawa dan memperlekeh-lekehkan perutnya yang lapar.  Tengoklah kejap lagi, gumamnya dalam hati.

   “Tuan…  Tuan tanya saya nak ke mana tadi kan?”  Nurul Ain mengingatkan majikannya
   “Haa…  Ok.  Ok.  Penat saya gelak, Nurul.  So, kita ke mana?”  Ikhwan Iman bertanya masih dengan sisa tawanya.
   “Err…  Kita pi makan?”
   “Jom.”

**********

Restoran Tupai-Tupai, Shah Alam.

Nurul Ain teringat Amiza sekeluarga pernah mengajaknya dan Mak Su Hanim  makan di restoran yang sama yang telah sedia terkenal namanya berhampiran dengan  Dewan Bahasa Dan Pustaka di Kuala Lumpur.  Tapi padanya, restoran cawangan di Shah Alam pun tidak kurang hebat. Review daripada pelanggan yang tidak bertauliah.

Matanya meneroka suasana dan kebersihan di situ padanya dijamin memuaskan hati.  Tambahan pula  surau disediakan untuk pengunjung untuk beribadat.  Berhadapan dengan restoran pula terdapat  Acappela Service Apartment.  Kemudahan bagi penginap apartment dan keuntungan bagi pemilik restoran.

Dua pelayan datang tersenyum simpul ke arah mereka.  Nurul Ain pasti senyuman yang disimpul itu adalah untuk Ikhwan Iman yang nyata berlainan jantina dengan keduanya.  Tapi baru terperasan yang majikannya senang merenung wajahnya.

   “Kenapa tuan tengok saya?  Ada yang tak kena ke?”  Nurul Ain mencapai tisu, bersedia untuk mengelap kesan kotoran degil di wajahnya.
   “Awak pesan banyak nampaknya.”

Nurul Ain mengangguk.  Ya.

   “Tuan kata hari ini hari Ahad kan?”
   “Apa kaitan hari ini hari Ahad dengan awak pesan banyak-banyak?”
   “Weekdays, tuan adalah majikan.  Weekends saya pekerja yang bebas.  Tuan yang suruh saya bersiap dan keluar kan?”  Nurul Ain berdiplomasi. Tudung di kepala dibetulkannya. 

Nurul Ain yang begitu leka dengan tudung di kepalanya tidak perasan akan gelagatnya menarik perhatian beberapa pasang mata berhampiran.

Ikhwan Iman pula berasa tidak senang hati apabila tiga orang pemuda yang duduk berhampiran yang dari tadi asyik memandang Nurul Ain. 

   “Kenapa tak balas SMS?  Saya dah bagi nota hari tu lagi yang awak kena balas SMS dan angkat telefon setiap kali nombor saya terdisplay kat skrin.”

Ish!  Perkara yang sama lagi, rungut Nurul Ain dalam hati.

   “Panggilan saya pun tidak berjawab.”  Ikhwan Iman meninggikan sedikit suaranya dengan harapan tiga pemuda berhampiran mendengar.

Nurul Ain menarik nafas panjang.

   “Tuan boleh marah sekejap lagi.  Kita makan dulu.”

Nurul Ain tersenyum tatkala pelayan menghampiri mereka dengan hidangan tahap gaban.  Terbalas dendam dengan majikannya yang ketawa besar dengan bunyi perutnya yang tersangat lapar semasa di dalam kereta tadi.  Salah Amiza malas masak di rumah!

Satu per satu makanan yang dipesan dihidang di atas meja.  Ada  Dua pinggan nasi putih, ikan bawal masak masam manis, tomyam makanan laut, kangkung belacan dan telur dadar dengan isi daging cincang.  Semua saiz besar.  Harga pun besar.  Tidak termasuk  air green tea, banana split  dan mix fruit.

   “Terima kasih.”  Ikhwan Iman mengucapkan terima kasih kepada kedua pelayan tersebut. 
   “Sama-sama, encik.”  Salah seorang pelayan itu menjawab sopan ucapan terima kasih Ikhwan Iman.

Ikhwan Iman menggeleng kepala.

   “Apa dia?” Tanya Nurul Ain selepas selesai membaca doa makan.
   “Awak boleh habiskan?”
   “Insya-Allah.  Jangan perkecilkan saya, tuan.” Ujar Nurul Ain bersungguh-sungguh.
   “Ha?” Ikhwan Iman terkejut dengan komen Nurul Ain yang langsung tidak padan dengan tuan empunya badan.

Bicara tinggal bicara.  Masing-masing kusyuk dan penuh pengamatan sepenuh jiwa raga menikmati hidangan yang dipesan.

Ikhwan Iman makan penuh selera ketika Nurul Ain bertanya.  Hampir-hampir sahaja makanan di dalam mulut tersembur keluar.

   “Tuan tak keluar dengan Cik Sya?”

Ikhwan Iman terbatuk-batuk.  Gadis di hadapannya menghulurkan air green tea untuk diminum.

   “Awak tanya apa?”

Nurul Ain mengerut kening.  Penyakit majikannya masih tiada penawar.  Tidak dengar dan tidak faham, terpaksa diulang tayang.

   “Tuan tak keluar dengan Cik Syarini hari ni?” Nurul Ain mencedok sup tomyam ke dalam mangkuk kecil.
   “Kenapa?  Maksud saya kenapa awak tanya macam tu?” Ikhwan Iman kehairanan.
   “Agaknya Cik Sya lupa bagitau tuan kot.  Hari Jumaat dia singgah di pejabat time solat Jumaat.  Dia nak jumpa tuan, so saya bagitahu tuan ke masjid.”
   “Dua hari lepas?”
   “Iya.  Dia tanya schedule tuan hujung minggu ni so itu pun saya bagitau.  No official appointment.”
   “Dia ada tanya apa-apa lagi?”
   “Tak. Err…  Ha… Tiap-tiap hari sejak Isnin hari tu Cik Sya call tanya schedule tuan.”
   “Se…  Setiap hari?”
   “Ha’ah.”

Memang agak pelik kerana Syarini seolah-olah tahu pergerakkannya seharian sejak Isnin lepas.  Rupanya Nurul Ain punya angkara…

Pernah sekali dua Syarini bertanya tentang Nurul Ain secara tidak langsung namun atas dasar kawan lama, dia menjawab juga satu dua perkara mengenai Nurul Ain. 

   “Apa pendapat awak tentang Syarini?”
   “Pendapat saya? Hmm… Cantik, berkeyakinan, sopan dengan caranya tersendiri.” Nurul Ain sempat berhenti mengunyah untuk menjawab pertanyaan majikannya.
   “Sopan apa?”
   “Dia agak rigid.  Maybe dah lama duduk di luar negara agak kekok kot.”

Agak tidak keterlaluan pendapat Nurul Ain terhadap Syarini berbanding adik dan teman baiknya.  Gadis di hadapannya ini memilih untuk berdiplomasi.

Telefon bimbit Ikhwan Iman berdering di atas meja.  Nama Syarini terpapar sebagai pemanggil.  Mujur bukan pada nombor untuknya berSMS dan menelefon Nurul Ain.  Jarinya tanpa teragak-agak menekan butang silent.
 
Ikhwan Iman memandang ke arah Nurul Ain.  Gadis itu cuma tersenyum dan meneruskan aktiviti menikmati makanan percuma, dibayar oleh majikannya.  

   “Siapa, tuan?” Tanya Nurul Ain bersahaja.
   “Salah nombor.” Jawab Ikhwan Iman pendek.

Nurul Ain mengangkat bahu. 

   “Ingatkan Cik Sya.”
   “Nope. Wrong number.”

**********

Syarini memberhentikan keretanya di parkir pelawat namun hampa apabila kereta milik Ikhwan Iman tiada di tempatnya.  Panggilan telefon pun tidak berjawab, SMS pun tidak berbalas.

   “Where are you?” Syarini bertanya tapi soalan itu tergantung tanpa jawapan.

Mungkinkah P.A  kepada Ikhwan Iman tersilap?

   “Tak mungkin.  Sepanjang minggu sehingga semalam semuanya mengikut rancangan. Kesibukkan sebagai boss pun kena ada batas.” Syarini berkata sendiri.

Tangannya mencapai telefon bimbit di atas dashboard kereta.  Nombor sama yang didail namun jawapan sama yang didengar.  SMS sama yang dihantar namun tetap juga tiada balas.  Dia mengeluh.

Awal pagi lagi dia telah bersiap untuk berjumpa dengan Ikhwan Iman.  Alasan keretanya di bengkel itu cuma helah kecil.  Siapa tahu hubungan mereka akan menampakkan perkembangan selain daripada ex-schoolmate?

Apabila diimbas kembali, pertemuaan pertama mereka berjalan agak lancar biarpun khwan Iman agak terperanjat dengan kedatangannya ke pejabat.  Perbualan mereka pun lebih berkisar tentang zaman universiti dan bukannya perkara semasa mahupun kejadian yang memalukannya di Singapura.

Apa yang pasti daripada mata kasarnya, Ikhwan Iman yang dikenalinya dengan t-shirt berkolar berwarna hitam atau putih dan berseluar jeans lusuh kini tampil segak dan kacak mengenakan kot berjenama antarabangsa. Rambut lebatnya tersikat rapi. Susuk tubuhnya tegap dan sasa menarik naluri wanitanya. Kenapa dia terpikat dengan arwah Azmeer dan bukannya Ikhwan Iman semasa di universiti dulu?

Baru sahaja Syarini mahu menghidupkan enjin kereta, kereta milik Ikhwan Iman dipandu masuk ke parkirnya.  Syarini menarik nafas lega.  Akhirnya dapat juga bersua muka dengan Ikhwan Iman, detik hatinya.  Senyuman yang mula terukir di bibirnya tiba-tiba mati begitu sahaja. Kelibat  Ikhwan Iman keluar dari kereta dan memberi tanda isyarat menunggu kepada penumpang di sebelahnya.  Siapa? 

Lima belas minit berlalu, Ikhwan Iman muncul semula dengan membawa satu beg kertas bersaiz sederhana dengan tulisan Longines.  Siapa yang tidak kenal dengan jenama jam tangan mewah itu? Untuk siapa?

Tidak lama kemudian kereta itu keluar semula mencari destinasi.  Syarini menarik nafas panjang dan bukannya berasa lega.

**********

   “Boss bagi ko ni?  Fuh!  Mahal ni…”  Amiza membelek jam tangan yang dikeluarkannya dari kotak.
   “Yang kotak biru satu tu ko punya.” Ujar Nurul Ain.

Amiza meletakkan kembali jam tangan mewah itu di dalam kotak asalnya dan mengambil kotak berwarna biru. Fossil?

   “Aku punya?  Betul ke ni?” Amiza cepat-cepat membuka kotak mengeluarkan jam dan menayangkannya tinggi-tinggi.  Jam mahal pertama dalam hidupnya.

Nurul Ain tersenyum melihat telatah Amiza.

   “Boss yang cakap.  Bukan aku yang cakap.  Dia kata, yang ini untuk bestfriend awak, Amiza.”
   “Dia cakap macam tu?” Tanya Amiza, tidak percaya.
   “Ha’ah.”
   “Alahai…  Terharunya.” Tangannya diletakkan di dada. Degupan jantung terharu.
   “Terharu?  Ada balas tau.” Nurul Ain menggantung telekungnya di penyidai.
   “Pulak dah.  Boleh pulak bagi hadiah tapi nak balasan.” Berkerut seribu dahi Amiza. Wajah Nurul Ain menjadi sasaran.

Nurul Ain melabuhkan punggungkan di kerusi meja solek.  Rambutnya yang baru dicuci semasa mandi tadi disikat.  Basah lagi.

   “Aku tolak banyak kali.  Boss ugut tinggalkan aku tepi jalan.  So ambik jalan tengah.”
   “Dia tinggalkan ko kat divider ke?”
   “Ish!  Apa ko ni?  Sampai macam tu pulak.  Habis tu aku balik macamana?” Tangannya berhenti menyikat rambut.
   “Tadi kata boss ugut nak tinggalkan ko kat tepi jalan? Mana tau ko pilih nak ditinggalkan atas divider jalan?”
   “Cari jalan tu cari kata sepakat.  Aku kena masak sarapan setiap hari sampai dia dapat P.A baru yang ganti Kak Kat.”

Mulut Amiza melopong membentuk huruf O.  Ingatkan balasan pelik-pelik.

   “Kalau macam tu masak je lah.  Bukan susah pun.”
   “Ooo… Tak susah yek?  Ko tolong aku.  Setiap pagi kena bangun awal.” Marah Nurul Ain.

Amiza menggelengkan kepala.

   “Laa…  Lepas makan malam  masak lauk baru.  Simpan.  Awal pagi panaskan.  Masih juga lauk baru bukan leftover. Buat apa susah-susah masak pagi-pagi?”

Lama Nurul Ain terdiam.  Ada bernasnya cadangan Amiza biarpun dia malas masak dan bangun pagi.

   “Boleh ke macam tu?”  Nurul Ain bertanya.
   “Kalau masak yang berat-berat lah.  Kalau masak ringan-ringan macam popia goreng ke, sediakan sandwich ke atau kesimpulannya  apa-apa yang simple, buat waktu pagi.”

Akhirnya Nurul Ain mengangguk. Bersetuju.

   “Ko nak masak apa esok?” Tanya Amiza.  Dia menggayakan jam tangan jenama Fossil di tangan kirinya.
   “Kita masak apa yek?”  Nurul Ain menggigit bibirnya, berfikir.
   “Haloo… Bukan kita.  Ko je.  Aku tak kata aku tolong.  Tolong terima kasih bolehlah.”
   “Hampeh punya kawan.  Bak sini jam tu aku pulang balik.”

Amiza berlari laju keluar daripada bilik Nurul Ain.

[Bab21-22][Sebelum]

9 comments:

  1. salam ramadhan. bab 19 bila blh bace?

    ReplyDelete
  2. thks cik writer. i rasa monyok mcm dina jugak hahaha nak tau apa prasaan cik ain kite...kalu si sya jadi pa boss garang, jadi cam ne ye plot nye?? tentu byk knflk tu lebih2 boss tu tgh nak analyse smua benda hehehe

    ReplyDelete
  3. tq semua. from time 2 time, cuba improvise olahan cerita... masih byk perlu dibelajar.

    ReplyDelete
  4. jeng3x.. Lampu da hijau.. Go go boss!
    -meow =^.^=

    ReplyDelete
  5. best best..continue plseeeeee

    ReplyDelete
  6. weee..hari2 bukak blog ni tunggu entry,,haha..next entry pleaseee...btw good job cik writer..=D

    ReplyDelete
  7. Bila nk continue? Setiap hr check kat blog.

    ReplyDelete
  8. suke dgn olahan baru! boss tak analyse, langsung jumpa cik ain kite bila tau dina ngan shah hehehe suke suke suke...pas ni cam ne ye? kejap gi nak bace balik dari 1...maraton pas tu tunggu sahur n olimpik terbaeekkkkk

    ReplyDelete
  9. next n3 please, dah bnyk kali khatam capter di atas, bagi la hint bile nak dibukukan...cari kat mph & popular, xde pun tajuk cite ni......

    ReplyDelete